Wednesday, 24 February 2010

Masjid atau surau tidak mesra wanita?

Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. (Hud:88)


Sebagai umat Islam, apabila kita berada di luar rumah kita atau dalam perjalanan ke mana sekali pun baik dekat mahu pun jauh, solat tetap menjadi kewajipan utama kita. Tentunya kita akan tercari-cari tempat untuk solat, baik masjid-masjid besar, surau-surau kecil mahu pun stesen-stesen minyak atau hentian rehat yang  ada menyediakan surau.

Alhamdulillah...kemudahan-kemudahan untuk solat yang ada di stesen minyak atau hentian rehat sekarang boleh dikatakan selesa dan memudahkan kita untuk bermusafir, bahkan membantu kita merancang perjalanan dengan baik. Suatu masa dahulu, sebelum adanya kemudahan seperti itu, masjid dan surau lah yang menjadi pilihan untuk bersolat dan berhenti rehat. Namun sekarang, para musafir punya lebih banyak pilihan.

Bagi saya sendiri, saya cenderung memilih untuk bersolat dan berhenti rehat di stesen petronas, walau pun di dalam hati saya merasakan sepatutnya masjid atau surau mungkin pilihan yang lebih baik. Entahlah...saya rasa lebih selesa solat di surau stesen minyak petronas kerana beberapa sebab. Antaranya adalah kerana kedudukan surau yang berdekatan dengan tandas dan tempat wudhuk yang telah sedia ada di dalam surau sendiri. Ini memudahkan muslimat untuk menanggalkan tudung atau stokin dan tidak perlu untuk memakainya semula selepas berwudhuk.

Tidak seperti masjid atau surau, kedudukan tandas, tempat wudhuk dan tempat solat adalah berasingan dan adakalanya sangat berjauhan antara satu sama lain. Amat tidak selesa untuk muslimat setelah mengambil wudhuk untuk memakai semula tudung atau stokin dalam keadaan basah untuk bergerak ke tempat solat pula. Dari aspek lain pula jarak yang jauh itu menyukarkan keadaan wanita yang sudah berusia, yang tidak larat untuk berjalan jauh dan juga wanita mengandung.

Misalnya berlaku pada diri saya sendiri sewaktu mengandung. Kerap kali juga saya ikut suami ke masjid Putrajaya atau masjid KLIA kerana ada program atau pun kami saja mencuba untuk berbuka puasa sewaktu bulan Ramadhan di sana. Waktu itu saya sarat mengandung 7 bulan. Memang agak sukar bagi saya kerana terpaksa kerap ke tandas dan mengambil wudhuk serta berjalan berulang kali ke tandas dan tempat wudhuk kemudian kembali semula ke tempat solat dalam keadaaan yang jauh. Demikian juga keadaannya bagi wanita yang berusia kerana masalah kesihatan menyukarkan mereka untuk berjalan. Kasihan kan...

Secara ringkasnya beberapa perkara yang saya rasakan masjid atau surau tidak mesra wanita kerana:

1. Kedudukan tandas, tempat wudhuk dan tempat solat yang berasingan dan jauh terpisah antara satu sama lain. Saya berharap dalam meletakkan kedudukan tempat-tempat ini dapatlah dipertimbangkan keadaan wanita yang perlu menjaga auratnya dan juga keadaan wanita mengandung serta lanjut usia yang tidak mampu berjalan jauh.

2. Ada sesetengah masjid atau surau, kedudukan tempat wudhuknya tidak strategik, berada pada laluan yang boleh dilihat oleh jamaah lelaki dengan tidak disediakan tabir atau pelindung yang sepatutnya. Pernah satu surau yang saya pergi, dinding tempat wudhuk perempuan mempunyai rekabentuk berlubang-lubang yang bersaiz agak besar. Geram hati saya...apa maknanya membuat tempat wudhuk muslimat dengan dinding yang sedemikian kerana apabila orang lalu lalang masih juga tidak dapat memelihara aurat wanita. Saya berharap tempat wudhuk muslimat dibuat pada kedudukan yang dapat melindungi dan memlihara aurat wanita.

3. Sesetengah surau-surau di qariah atau kampung yang pernah saya singgah, keadaan tandas muslimat sangat kotor dan menjijikkan. Mungkin kerana jemaah muslimat tidak ramai yang hadir ke surau, maka pihak pengurusan surau tidak mengendahkan sangat kebersihan tandas muslimat. Saya harap keadaan ini tidak berlaku.
Oleh itu, saya sangat berharap agar pihak yang diamanahkan dalam menjaga kemudahan beribadah ini dapat melaksanakan penyediaan dan pengurusannya dengan sebaik mungkin kerana ia melibatkan soal keselesaan umat Islam dalam beribadah. Wallahu'alam.

Thursday, 28 January 2010

Tolong Abang Berniaga

Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. (Hud:88)




ASSALAMUALAIKUM
KEPADA PELANGGAN YANG DIHARGAI,
Trend Baru Berbusana Muslim.
Tudung Instant terkini di pasaran Malaysia. Koleksi berkualiti dari InspirasiHana.Com di design khas untuk anda yang mempunyai citarasa eksklusif.Di perbuat dari bahan super nylon yang terpilih lembut dan sejuk.Kami tampil dengan design kreatif pertama di Malaysia. Tudung instant berkerut di kedua belah bahu menambah gaya elegent dan menawan. Sesuai untuk semua golongan.Miliki koleksi terhad dari kami sekarang sebelum terlambat. Jadilah orang yg terawal memilikinya. Sebagai promosi kami memberi Kupon Diskaun yang melayakkan anda mendapat DISKAUN 10% bagi setiap pembelian Online. Segera lawati laman web kami : http://inspirasihana.com . Dibawah ialah kupon diskaun anda:


Kupon Diskaun : AINI83 (sila isikan kode ini pada borang tempahan yang disediakan dilaman web kami untuk mendapat diskaun ketika membuat pembelian) - Hanya Sah Laku sehingga 31/1/2010


      


--
Tijarah Computer Enterprise (IP0298466-T)

Tuesday, 26 January 2010

Memori Itu

Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. (Hud:88)



Dedikasi buat teman-teman sekuliah...teman-teman seperjuangan...

Tiap bertemu kan berpisah, yang awal ada akhirnya
Itulah lumrah dunia ketetapan dari yang Esa
Kenangan mengajar kita erti hubungan manusia
Tidak dapat dipisahkan dari rahmat pencipta

Sebuah memori yang tersingkap kembali
Kisah pertemuan kali pertama
Di dalam taman yang mengajar kita
Erti kehidupan penuh pancaroba

Di sini kita berjanji setia
Bersama menongkah awanan cita
Menanti jernih hujanan kejayaan
Berkat dai usaha doa tulus padaNya

Tutur kata guru bagaikan azimat
Sering mendidik jiwa yang lemah ini
Ungkapan hikmahmu tinggi nilainya
Dan menjadi bekalan kami di hari muka

Oh temanku masih kau ingat
Susah senang harungi bersama
Pahit manis kita rasainya
Demi harapan kedua ibu bapa

Sendau gurau,senyum tangis sendu
Masih lagi segar di ingatan
Rindu hati ingin bersemuka
Setelah kita berpisah sekian lama

Ku panjatkan doa agar dipertemukan
Kerana kudratMu tiada batasan
Bertemu,berpisah hanya kerana Allah
Ukhuwah yang terbina anugerah dariNya



Nasyid: Zulfan

*********************************************************************************

mmmmm...percutian yang panjang ini membuat saya ternanti-nanti untuk kembali ke lembah ilmu.....

Memori Januari

Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. (Hud:88)



.: 5 Januari :.

Selamat Hari Lahir, Kak Cik...

Kak Cik nun jauh di rantauan di bumi Mesir. Walau pun jauh dari keluarga, namun Alhamdulillah, daripada gambar-gambar yang di'upload' ke dalam Friendster, Kak Cik nampak ceria sangat bersama-sama teman serumah yang bersama-sama berjuang menuntut ilmu perubatan di Universiti Cairo. Sirru 'ala barakatillah Kak Cik. Moga di usia 19 tahun ini, Kak Cik bertambah matang, kuat dan tabah melalui hari-hari yang mendatang. Sayaaang Kak Cik.


.: 19 Januari :.

Selamat Hari Lahir, Uda...


Moga Uda yang cekal akan bertambah cekal dalam perjuangan
Merentasi langit cita-cita Uda
Menggapai impian dan harapan
Demi Allah dan RasulNya
Membalasi pengorbanan Mak dan Abah

Genggamlah dunia di tanganmu
sedangkan hatimu hanya untuk Allah...


.: 20 Januari :.


Hari ini merupakan hari lahir Mak..Selamat Hari Lahir, Mak...Moga Allah panjangkan umur Mak dalam ketaatan kepadaNya...Moga seluruh hidup Mak dipenuhi rahmat, keampunan, keredhaan dan kasih sayangNya...di atas segala pergorbanan dan bakti Mak terhadap keluarga yang tidak pernah putus sejak bergelar isteri Abah. 52 tahun usia Mak dan telah 29 tahun Mak bergemulang dengan kerenah anak-anak Mak. Moga Allah membalas kesucian kasih sayang Mak dan semua ibu-ibu di dunia...Walau selaut dicurah bakti kami, walau segunung ditabur jasa kami, tak mampu kami membalasnya.

Sejenak hatiku mula tersentuh...
Terkenang ibu nun jauh di sana...
Untukmu ibu, salam sayangku...
Doa dan restu ku pohon darimu...
Alangkah rindunya belai kasihmu...
Alangkah indahnya mutiara katamu...

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mu'min pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)". (Surah Ibrahim:41)


.: 24 Januari :.
 

Hari ini merupakan hari ulang tahun perkahwinan saya yang pertama. Terlalu pantas masa berlalu, telah setahun usia perkahwinan kami. Saya dan suami meraikan ulang tahun ini bersama putera kami yang berusia 2 bulan lebih. Terasa masih baru sahaja bergelar isteri, kini telah bergelar ibu pula...

Benarlah tanggung jawab itu lebih banyak dari masa yang ada. Benarlah juga pengalaman hiduplah yang mengajar dan mematangkan kita. Pengalaman yang telah saya laluilah yang mengajar saya melaksanakan tanggung jawab sebagai isteri dan ibu. Saya juga belajar melalui pengalaman yang disampaikan oleh ibu-ibu saya (mak dan mama).

Suatu masa dahulu, status sebagai isteri dan ibu adalah suatu yang saya takuti. Dalam kesibukan belajar saya tidak pernah sempat untuk mendalami ilmu rumah tangga sedalam-dalamnya. Mungkin itu jugalah yang dirasakan oleh kebanyakan wanita-wanita lain sebelum mereka berumah tangga. Namun ada juga kenalan saya yang menyatakan kesediaan mereka untuk bergelar isteri dan ibu. Baguslah begitu...

Saya mahu menjadi seorang pencinta ilmu yang cemerlang...
Seorang isteri solehah kepada suami tercinta...
Seorang ibu mithali kepada anak yang dikasihi...
Seorang anak solehah kepada mak dan abah, mama dan bapak...

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَاماً
Ya Tuhan kami, anugrahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.  (Al-Furqaan:74)


رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاء
Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar do'a. (Ali Imran:38)


رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحاً تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri ni'mat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri. (Al-Ahqaaf:15)

Monday, 18 January 2010

Doa isteri solehah buat suami tercintanya

Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. (Hud:88)




Ya Allah..
Kau ampunilah dosaku yang telah ku perbuat
Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yang tiada terbatas
Kau berikanlah aku kekuatan mental
Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan
Kau peliharalah lidahku dari kata-kata nista
Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaran Mu
Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan

Ya Allah…
Sekiranya suamiku ini adalah pilihan Mu di arash
Berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya
Sekiranya suamiku ini adalah suami yang akan membimbing tanganku di titian Mu
Kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya
Sekiranya suamiku ini adalah bidadara untukku di jannah Mu
Limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala perintahnya
Sekiranya suamiku ini adalah yang terbaik untukku di dunia Mu
Peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya
Sekiranya suamiku ini jodoh yang dirahmati oleh Mu
Berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala kerenah dan ragamnya

Tetapi ya Allah…

Sekiranya suami ku ini ditakdirkan bukan untuk diriku seorang
Kau tunjukkanlah aku jalan yang terbaik untuk aku harungi segala dugaan Mu
Sekiranya suamiku tergoda dengan keindahan dunia Mu
Limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya
Sekiranya suamiku tunduk terhadap nafsu yang melalaikan
Kurniakanlah aku kekuatan Mu untuk aku memperbetulkan keadaannya
Sekiranya suamiku menyintai kesesatan
Kau pandulah aku untuk menarik dirinya keluar dari terus terlena

Ya Allah…

Kau yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku
Kau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan keterlanjuranku
Sekiranya aku tersilap berbuat keputusan

Bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai
Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai isteri
Kau hukumlah aku di dunia tetapi bukan di akhirat Mu
Sekiranya aku ingkar dan derhaka
Berikanlah aku petunjuk kearah rahmat Mu


Ya Allah…
Sesungguhnya aku lemah tanpa petunjuk Mu
Aku buta tanpa bimbingan Mu

Aku cacat tanpa hidayah Mu
Aku hina tanpa Rahmat Mu

Ya Allah…

Kuatkan hati dan semangatku
Tabahkan aku menghadapi segala cubaan Mu
Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami
Bukakanlah hatiku untuk menghayati agama Mu
Bimbinglah aku menjadi isteri solehah
Hanya pada Mu, Ya Allah…
Ku pohon segala harapan
Kerana aku pasrah dengan dugaan Mu
Kerana aku sedar hinanya aku
Kerana aku insan lemah yang kerap keliru
Kerana aku leka dengan keindahan dunia Mu
Kerana kurang kesabaran ku menghadapi cabaran Mu
Kerana pendek akal ku mengharungi ujian Mu

Ya Allah Tuhanku…
Aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati
Isteri yang dikasihi
Isteri yang solehah
Isteri yang sentiasa dihati suamiku


Amin, Ya Rabbi Allamin…